Sunday, March 30, 2008

Ringan Sebutan Berat Ganjaran

Tiga patah kalimah yang amat ringan sebutannya. Tetapi nilai dan ganjaran di sisi Allah sangat berat. Biasakanlah lidah menyebut di hujung sebutan nama Nabi Muhammad atau Rasulullah. Bukan saja pada pengucapan tetapi dalam tulisan juga. Kaedah penulisan yang diguna pakai di negara kita ini sangat memudahkan mengeja kalimah selawat yang dirangkaikan dengan nama Rasulullah. Cukup dengan singkatan ‘s.a.w.’ sebagai ganti ejaan panjang, yang apabila dibaca oleh pembaca mereka menyebut . Mudah. Dengan hanya tiga huruf (S.A.W.) secara automatik kita sudah mengajak orang lain berselawat kepada kekasih-Nya. Penulis berselawat melalui tulisan dan pembaca pula berselawat melalui penuturan bacaannya. Penulis dapat pahala dan pembaca pun dapat pahala. Beradablah kita dengan nama kekasih-Nya; jangan sekali-kali menulis nama Nabi Muhammad dengan diletakkan perkataan ‘Nabi’ di awal nama. Hanya menyebut/menulis Muhammad atau agar bagi jelas sedikit disebutlah Muhammad bin Abdullah. Nampak sangat sikap berkira-kira. Kenapa hendak berkira-kira dengan kekasih-Nya? Buruk padahnya nanti kalau Dia juga berkira-kira dengan kita. Cukuplah tabiat berkira-kira yang tidak kena pada tempatnya ini. Sudah banyak kita berkira-kira dengan Allah s.w.t. Dalam perkara solat umpamanya, berkira-kira setiap kali mendengar azan sama ada mahu ke masjid/surau atau solat saja di rumah. Kalau pergi pun, sampai di masjid/ surau menunggu-nunggu bilal iqamah baru masuk. Kenapa? Tak payah solat sunat. Berada di saf, teragak-agak(berkira-kira) hendak mengucapkan ‘usolli’ atau tidak, walaupun pengucapan itu boleh membantu menjernihkan niat dan qasad solat tersebut. Syaitan tidak akan berenggang dari hati yang hendak menghadap Allah. Apa salahnya mengusir was-was syaitan dengan sebaris lafaz niat (usolli) terlebih dahulu. Tidak timbul solat penambahan(bidaah) di dalam solat kerana ucapan itu sebelum mengangkat takbir, ertinya di luar solat. Tetapi oleh kerana sikap berkira-kira, ucapan bagi memperkemaskan solat itu diabaikan begitu saja. Selepas mengangkat takbir pun masih berkira-kira juga lagi - mahu membaca doa iftitah atau terus membaca Fatihah. Akhirnya hendak mudah dan cepat, tak baca doa iftitah.Bersempena dengan bulan Rabiulawal ini, sambil mengimbau sejarah keputeraan dan perjuangan Rasulullah s.a.w., marilah sama-sama kita tanamkan azam dan keghairahan hati untuk lebih banyak lagi berselawat kepada Rasulullah s.a.w. dengan apa jenis selawat pun, tanpa berkira-kira waktu mahupun jumlahnya. Berusahalah menjadi umat yang mendapat kedudukan istimewa di sisi Rasul. Sabda baginda, “ Manusia yang paling utama bagiku ialah yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Riwayat at-Tirmizi Ibnu Mas’ud r.a.)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...